Monday, January 31, 2011

Penyakit dalam kapal terbang

TEKANAN udara semasa pesawat berlepas dan mendarat boleh mengganggu kestabilan telinga tengah.

MEMILIH untuk menaiki kapal terbang ke destinasi pilihan tentunya memberi keterujaan apatah lagi jika ia pengalaman pertama.




Namun, dalam keseronokan untuk terbang, masih ada perkara yang perlu diambil berat demi memastikan keselesaan anda sebagai penumpang di sepanjang penerbangan.


Ini kerana boleh dikatakan hampir semua penumpang kapal terbang tidak dapat lari daripada merasai tekanan di bahagian dalam telinga ketika pesawat hendak berlepas mahupun mendarat.




Gangguan sindrom telinga pesawat yang juga dikenali sebagai airplane ear atau barotrauma ini boleh mengakibatkan telinga berdengung dan rasa sakit di bahagian dalam telinga.




Saya sendiri sering berdepan gangguan yang sama setiap kali menaiki kapal terbang, adakalanya kesakitan tersebut boleh mengundang masalah lain seperti pening dan loya.




Apa yang lebih teruk, keadaan ini boleh berlarutan selepas beberapa jam pesawat mendarat.




“Apa yang anda alami bukan perkara biasa. Biasanya, penumpang hanya mengalami sedikit tekanan dan telinga berdengung, tetapi selepas pesawat mendarat, ia sudah hilang sepenuhnya.








“Mungkin kesihatan yang kurang baik ketika menaiki kapal terbang memburukkan lagi tekanan telinga pesawat yang dialami,” ulas Perunding dan Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Dr. Raymond Tan Suan Kuo.




Ditafsirkan sebagai kecederaan pada bahagian telinga tengah, gejala tersebut disebabkan oleh perubahan tekanan udara sewaktu dalam penerbangan. 




“Tekanan telinga pesawat boleh berlaku di kedua-dua belah telinga. 


“Ia akan lebih serius apabila penumpang terbang ketika sedang mengalami selesema, hidung tersumbat, alahan hidung, tekak atau jangkitan resdung. 


“Gejala yang sama juga boleh berlaku jika memandu di kawasan pergunungan atau berada di tempat yang tinggi serta ketika menyelam skuba,” jelas Raymond.




Menurutnya lagi, tekanan udara yang tidak seimbang di antara telinga tengah dan tekanan udara persekitaran boleh menghalang gegendang telinga bergetar secara normal. 




“Apabila tekanan udara persekitaran berubah secara mendadak, saluran eustachia yang menghubungkan bahagian tekak dan telinga tengah tidak dapat memberi reaksi pantas yang boleh menyeimbangkan tekanan menjadi punca gangguan ini terjadi.


TEKANAN berada di tempat tinggi boleh membuatkan telinga kanak-kanak berdengung dan sakit. Tekanan yang melampau pula mampu mengakibatkan telinga tengah bocor.






“Telinga akan berdengung dan akan lega jika mengunyah atau menelan makanan,” ujarnya. 


Bagaimanapun, bagi penumpang yang mengalami tekanan yang disusuli rasa sakit seperti bahagian dalam telinga dicucuk dengan benda tajam, Raymond memberitahu itu bukan gejala biasa. 




“Jika saluran eustachia tersebut tersumbat atau mempunyai masalah lain seperti jangkitan kuman, tekanan di telinga tengah boleh mendatangkan masalah yang lebih besar. 




“Pendengaran akan mulai merosot, telinga tidak selesa, berdengung, pendarahan daripada telinga yang boleh menyebabkan pening dan kesakitan dalam telinga yang berpanjangan,” katanya.


Apa yang lebih membimbangkan, gangguan ini boleh mendatangkan risiko besar kepada kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah. 




“Tekanan ini mampu membocorkan telinga tengah dan mengakibatkan lebih banyak masalah. Telinga mereka akan sakit dan rasa tidak selesa, itu menyebabkan mereka kuat menangis. 




“Segera periksa telinga anak anda selepas tangisan mereka reda. Jika ada lelehan nanah atau darah, bawa segera anak berjumpa doktor untuk rawatan lanjut,” ujarnya. 


Nanah
Kebocoran telinga tengah boleh mengakibatkan masalah yang lebih besar kerana ia berfungsi sebagai dinding penutup bahagian dalam dan luar telinga, sama seperti jika perut anda bocor hingga menampakkan usus dan isi perut. 




“Apabila disahkan ada kebocoran pada telinga tengah, ritma kehidupan mereka turut terganggu.




“Pesakit tidak boleh berenang kerana air yang memasuki telinga akan menyebabkan telinga mendapat jangkitan kuman. 




“Jika itu berlaku, telinga mudah bernanah. Pesakit juga sentiasa terdedah kepada pencemaran seperti habuk dan terpaksa menanggung kesakitan apabila mendengar bunyi yang kuat. Pembedahan perlu dijalankan untuk menutup semula kebocoran tersebut,” tambahnya. 


PEMERIKSAAN telinga perlu segera dilakukan sekiranya gejala telinga pesawat tidak berkurangan.






Bagaimanapun, sekiranya telinga bocor ini dialami oleh kanak-kanak, mereka terpaksa menunggu hingga usia 16 tahun untuk dibedah.




“Kanak-kanak adalah golongan paling berisiko untuk mendapat tekanan telinga pesawat yang membawa kebocoran telinga dalam. 




“Jika kebocoran terjadi, pembedahan tidak terus dilakukan kerana bahagian dalam telinga kanak-kanak masih kecil dan perlu menunggu umur sekurang-kurangnya 16 tahun untuk dibedah.




“Saranan saya, pastikan anda mempunyai sesuatu untuk dikunyah seperti asam atau gula-gula getah ketika berada di kawasan tinggi.




“Gangguan tekanan telinga pesawat biasanya timbul daripada masalah kesihatan yang lain. Jika anda merancang untuk menaiki kapal terbang atau menyelam skuba, pastikan kesihatan anda berada di tahap yang baik. 




“Pesakit resdung dan penghidap selesema atau jangkitan hidung berisiko untuk mendapat tekanan yang lebih teruk berbanding penumpang yang sihat,” nasihatnya. 

Sumber: kosmo

Monday, January 10, 2011

mEncaRi ketEnangaN hAtI

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah



HIBURAN YANG DIANJURKAN ISLAM

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :
“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.
(Surah Al-Ra‘ad: 28)
Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.
Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur.

SOLAT JAMAK DAN QASAR


 
Allah SWT telah memberi kelonggaran/keringanan kpd umat Islam dlm mengerjakan ibadah solat dalam situasi tertentu khususnya ketika bermusafir.  Kelonggaran ini dinamakan RUKHSAH SOLAT.

Sabda Rasullah SAW ;
إن الله يحب أن تؤتى رخصـه كما يكره أن تؤنى معصـيته. رواه أحمد
“Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci  dilakukan maksiat kepadaNya”. Hadis riwayat Ahmad.
Rukhsah Solat bertujuan supaya umat Islam dapat menunaikan fardhu Solat dalam apa keadaan sekalipun, di samping membuktikan bahawa agama Islam yamg mengambilkira  kebajikan umat dan bukanlah agama yang menyusahkan. Allah telah mensyariatkan Solat Qasar dan Solat Jamak sebagai rukhsah bagi mereka yang bermusafir.
 
SYARAT-SYARAT PERJALANAN (MUSAFIR) YANG DIBENARKAN UTK SOLAT QASAR/JAMAK
1. Musafir adalah utk tujuan yang baik, bukan utk melakukan maksiat.
2. Destinasi yang dituju melalui 2 marhalah (lebih kurang 91 KM).
3. Mengetahui destinasi yang dituju ( tahu jalannya, tidak tersesat).
 
HIKMAH DISYARIATKAN SOLAT QASAR/JAMAK
1. Meringan/memudahkan umat Islam utk menunaikan solat dalam perjalanan.
2. Tanda kasih sayang Allah kepada manusia.
3. Supaya solat fardhu dapat dilaksanakan dlm apa kedaan sekalipun.
4. Menggalakkan umat Islam bermusafir/melancong/ziarah-menziarahi  bagi menambahkan keimanan dan mengeratkan tali persaudaraan.

 
SOLAT QASAR
 
Bahasa ; Pendek dan ringkas.
Istilah   ; Memendekkan solat jenis 4 rakaat kepada 2 rakaat.
Jadi, solat yang boleh diqasarkan ialah Solat Zuhur, Asar dan Isyak.
 
SYARAT-SYARAT  SOLAT QASAR
1. Hendaklah melepasi semapadan kawasan tempat tinggal.
2. Tidak berniat bermukim melebihi  4 hari, tidak termasuk perjalanan pergi dan balik.
3. Tidak berimamkan imam yang solat tamam (sempurna) rakaatnya.
4. Masih dlm keadaan musafir ketika mengerjakan solat Qasar.
 
Cara Solat Qasar
1. Dikerjakan hanya 2 rakaat.
2. Lafaz niat adalah spt beikut ;
أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ/ العَصْر/ العِشـَاءِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor/Asar/Isya’ 2 rakaat Qasar kerana Allah Taala.

 
SOLAT  JAMAK
Bahasa : Himpun @ kumpul
Istilah   : Menghimpunkan 2 solat fardhu dalam satu waktu dgn syarat-syarat tertentu.
Solat  Jamak adalah terdiri daripada Zohor dan Asar, Maghrib dan Isya’.
 
Solat  Jamak terbahagi  kepada ;
1. JAMAK TAQDIM  – Menghimpunkan 2 solat Fardhu dalam waktu pertama. Cthnya menghimpunkan solat Zohor dan Asar dan menunaikannya dalam waktu Zohor.

SYARAT-SYARAT JAMAK TAQDIM 
1. Niat jamak dlm waktu pertama (Zohor/Maghrib).
Niat hendaklah dilakukan dalam solat terutama ketika takbiratulihram. Walau bagaimanapun, boleh dilakukan niat semasa (pada mana-mana bahagian) solat yang pertama sekalipun semasa memberi salam. (Bukannya selepas memberi salam sbb solat sudah habis/selesai).
2. Bertertib iaitu memulakan solat yang pertama (Zohor/Maghrib), kemudian diikuti dgn solat yang kedua (Asar/Isya) kerana waktu solat Jamak Taqdim adalah untuk waktu yang pertama  (Zohor/Maghrib), sedangkan solat yang kedua  (Asar/Isya), adalah pengikut bagi solat yang pertama, maka mestilah solat yang diikuti (solat pertama).
Jika dilakukan solat kedua-duanya dgn didahului oleh solat yang pertama, tiba-tiba terbatal solat yang pertama kerana tidak sempurna syarat dan rukunnya, maka terbatal juga solat yang kedua. Walau bagaimanapun, solat yang kedua menjadi solat sunat mengikut pendapat yang asah.

3. Berturut-turut kedua-dua solat iaitu tidak berlaku pemisahan yang lama di antara kedua-dua solat kerana jamak telah menjadikan kedua-dua solat tersebut sebagai satu solat, maka mestilah bersambung di antara kedua-duanya seperti rakaat-rakaat solat.
Kalau dipisahkan kedua-duanya oleh masa yang panjang walaupun kerana keuzuran spt terlupa atau pitam. Maka terbatallah jamak. Maka wajiblah ditunda solat yang kedua kepada waktunya sendiri kerana tidak memenuhi syarat jamak. Walau bagaimanapun, jika dipisahkan kedua-duanya umtuk tempoh sekejap spt oleh azan, iqamah dan bersuci maka tidak terbatal Jamak.
Tidak membatalkan jamak jika terpisah di antara 2 solat  kerana mendapatkan sedikit air utk berwudhuk kerana perbuatan tersebut adalah keperluan solat sebagaimana Iqamah, malah lebih utama lagi kerana wudhuk adalah syarat sah solat tetapi iqamah bukan syarat.

4. Perjalanan berterusan sehingga masuk waktu solat kedua. (sekurang-kurangnya TakbiratulIhram solat yang kedua). Sekalipun, selesai musafir tidak lama setelah TakbiratulIhram solat yang kedua. Tetapi jika selesai musafir sebelum memulakan solat yang kedua, maka tidak sah jamak kerana hilang sebab yang membolehkannya.
5. Kekal waktu solat yang pertama dengan yakin sehingga mendirikan solat yang kedua.
6. Zan (sangkaan yang kuat) bahawa solat yang pertama itu sah.
 
Cara melakukan solat JAMAK TAQDIM
1. Sunat @ afdhal melakukan solat waktu pertama dahulu  (Zohor/Maghrib) kemudian diikuti oleh Solat Waktu kedua (Asar/Isya’)
2. Selepas salam solat pertama,  sunat iqamah dan kemudian dirikan solat yang kedua.
3. Contoh lafaz niat Solat JAMAK TAQDIM
 
Solat  Zohor dan Asar  Jamak Taqdim
أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العَصْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor  4  rakaat dihimpunkan solat  Asar kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى الظّهْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Asar  4  rakaat dihimpunkan  kepada Zohor
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
Solat  Maghrib dan Isya’ Jamak Taqdim
أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العِشـَاءِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Maghrib  3  rakaat dihimpunkan solat  Isya’ kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى المَغْرِبِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Isya’  4  rakaat dihimpunkan  kepada Maghrib
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.

2. JAMAK TA’HIR - Menghimpunkan 2 solat Fardhu dalam waktu kedua. Cthnya menghimpunkan solat Zohor dan Asar dan menunaikannya dalam waktu Asar.
 
SYARAT-SYARAT SOLAT JAMAK TA’HIR
1. Berniat melakukan solat Jamak Taqdim dalam waktu pertama (Zohor/Maghrib).
Niat hendaklah dilakukan seblum habis waktu solat yang pertama. Sekalipun waktu yang masih ada itu sekadar satu rakaat sahaja.

2. Masih dalam perjalanan sehingga kedua-dua solat selesai didirikan.
* Tertib tidak menjadi wajib kerana waktu bagi solat yang kedua (Asar/Isya’), telah masuk waktu bagi solat yang pertama (Zohor/Maghrib). Oeh itu boleh didahulukan mana-mana solat sama ada solat pertama atau solat kedua.
 
Cara melakukan solat JAMAK TA’HIR
1. Sunat @ afdhal melakukan solat waktu kedua dahulu (Asar/Isya’) kemudian diikuti oleh Solat Waktu pertama  (Zohor/Maghrib)
2. Selepas salam solat waktu kedua,  sunat iqamah dan kemudian dirikan solat waktu yang pertama.
3. Contoh lafaz niat Solat JAMAK TA’HIR
 
Solat  Zohor dan Asar  Jamak Ta’hir
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الظُّهْرِ جَمْعٍ َ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Asar  4  rakaat dihimpunkan  kepada Zohor
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.
 
أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْر اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى العَصْر جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor  4  rakaat dihimpunkan solat  Asar kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
Solat  Maghrib dan Isya’ Jamak Ta’hir
أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ المَغْرِبِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Isya’  4  rakaat dihimpunkan  kepada Maghrib
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.

أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى العِشـَاءِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍلله تعالى
 Sahaja Aku solat fardhu Maghrib  3  rakaat dihimpunkan solat  Isya’ kepadanya
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.
SOLAT QASAR DAN JAMAK
Selain drp melakukan solat secara Qasar @ Solat secara Jamak, kita juga diharuskan utk mengerjakan Solat Qasar dan Jamak.
 
Cara mengerjakan Solat Qasar dan Jamak.
Cara mengerjakan Solat Qasar dan Jamak adalah sama spt mengerjakan solat Jamak Taqdim dan Solat Jamak Ta’hir, Cuma ditambah Qasar sahaja… iaitu Solat Zohor/Asar/Isya’ menjadi 2 rakaat sementara solat Maghrib kekal 3 rakaat.
 
Contoh Lafaz Niat Solat Qasar dan Jamak.
Solat  Zohor dan Asar  Jamak Taqdim dan Qasar.
أُصَلِّي فَرْضَ الظّهْرِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العَصْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor  2  rakaat Qasar dihimpunkan solat  Asar kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلى الظُّهْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Asar  2  rakaat Qasar dihimpunkan  kepada Zohor
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
 
Solat  Maghrib dan Isya’ Jamak Taqdim dan Qasar.
أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العِشـَاءِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Maghrib  3  rakaat dihimpunkan solat  Isya’ kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلى المَغْرِبِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Isya’  2  rakaat Qasar dihimpunkan  kepada Maghrib
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
 
Solat  Zohor dan Asar  Jamak Ta’hir dan Qasar.
أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الظُّهْرِ جَمْعٍ َ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Asar  2  rakaat dihimpunkan  kepada Zohor
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْر رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلى العَصْر جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Zohor  2  rakaat dihimpunkan solat  Asar kepadanya
 Jamak Taqdim kerana Allah Taala.
 
Solat  Maghrib dan Isya’ Jamak Ta’hir dan Qasar.
أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ المَغْرِبِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Isya’  2  rakaat dihimpunkan  kepada Maghrib
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.
أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى العِشـَاءِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍلله تعالى
Sahaja Aku solat fardhu Maghrib  3  rakaat dihimpunkan solat  Isya’ kepadanya
 Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.